Showing posts with label Kisah Benar. Show all posts
Showing posts with label Kisah Benar. Show all posts

Monday, 30 November 2015

Sebuah Kisah Yang Membuatkan Saya Menitiskan Air Mata

A heartbreaking day...
Di dewan bersalin, menyambut seorang adik, remaja sekolah menengah rendah.. Wajahnya kelihatan tenang, disulam kerut-kerut dahi menahan sakitnya contraction pain. A petite, pretty, innocent young lady indeed.

Sementara menunggu fail pesakit tiba di tangan... Kami siap sediakan peralatan yang patut. CTG (cardiotocography) machine dipasang, delivery set, vaginal examination set, bladder catheterization, suction set.. Darah pesakit diambil untuk saringan kumpulan darah, standby sekiranya ada komplikasi pendarahan berlaku selepas pesakit bersalin.
"Adik sekolah lagi?" Sapaan seorang staf.
"Saya baru berhenti sekolah beberapa bulan lepas. Takut kawan-kawan tau.."

Tangan cekap melakukan kerja, sambil otak ligat berfikir, memecahkan puzzle yang masih banyak lopongnya. Kes apa ye ini?
"Saya mangsa rogol..." Perlahan dia berkata.
Sentap. Sunyi.. 10 saat, 20 saat.. Terdengar suara beliau mengerang kesakitan. Dengan penuh tenang dan prihatin, kami ajarkan si adik cara-cara menahan sakit, cara meneran apabila saat melahirkan anak tiba nanti. Beberapa ayat quran dan zikir diajarkan beliau untuk tenangkan minda, mudah-mudahan dipermudahkan proses delivery nanti.
Tidak lama kemudian, ibu adik ini masuk. Wajahnya segar. Penuh motivasi. Istimewanya ibu ini. Tidak henti-henti mengurut belakang badan, tangan dan kaki sambil mulut memberi sokongan kepada si adik. Setiap kali contraction pain datang, ibu ini tidak jemu berkata, "Sabar ye nak, nak bersalin memang sakit. Baca istighfar, mengucap.. Baca tu haa, ayat yang tulis kat dinding tu. Laa ilaha illa anta, subhanaka inni kuntu minazzholimin.."
"Puan, jemput duduk.. Penat puan berdiri dari tadi."
"Tak mengapa, kesian kat anak saya ni."

Setelah ARM (artificial rupture of membrane: satu prosedur untuk membantu pecahkan air ketuban) dilakukan, air ketuban yang mengalir keluar kelihatan sedikit keruh, light meconium stain liquor, inform pediatrics team untuk standby!
"Apa ye tu doktor?" si ibu bertanya.
"Puan, kita buat ARM ni tadi untuk 2 tujuan, pertama untuk lihat warna air ketuban, sekiranya keruh maknanya baby dah buang najis di dalam, menandakan dia dalam keadaan tertekan dan boleh jadi lemas. Kedua, untuk bantu cepatkan sedikit proses bersalin. Dan kami perasan air ketuban adik ni tadi ada stain najis bayi. Tapi insya Allah masih dalam keadaan stabil, kita pantau keadaan baby dengan CTG machine tu. Setakat ni nampak fungsi jantung baby baik, maknanya belum ada tanda-tanda lemas."
"Ooo.. Boleh jadi tak baby ni tertekan sebab di rumah, anak saya pukul-pukul perutnya dengan baldi. Boleh jadi tak sebab tu?"
"Pukul dengan baldi?"
"Iye.. Lepas kejadian tu, di rumah dia selalu murung. Berkurung dalam bilik. Menangis sendiri. Tak jumpa orang. Saya ni je lah yang selalu buat dia senyum, ketawa."
"Insya Allah bukan sebab tu, puan jangan risau ye.."
Kadar contraction semakin kerap, adik ini semakin kesakitan.
"Akak, saya rasa macam nak meneran!"

"Ok adik... Tarik nafas, kami periksa ya.."
"Os fully!" Semua bersedia. Rambut si bayi sudah kelihatan.

Si ibu bergegas keluar kamar bersalin. Mata dan hidungnya merah. Mulutnya terkumat kamit berdoa. Si ibu menangis..
"Eh puan tak nak masuk, teman anak bersalin?"
"Saya tak sanggup tengok anak saya sakit begini."

Dia masuk semula..
Sambil mengusap pantas rambut si anak, di berkata,
"Ibu keluar ye sayang, Adik boleh, jaga diri ye."
Dicium lembut pipi si anak. Air matanya mengalir laju.

"Ibu, jangan tinggalkan adik... Ibu jangan pergi" lemah suara si anak merayu..
Ya Ilahi... drama apakah ini?
Kenapa penglihatan mata ini berkaca-kaca? Tak mampu menahan air mata yang sarat bergenang.. Ya Allah jangan biarkan air mata ini jatuh..
Tunduk merenung CTG machine yang rancak berbunyi, bunyi degupan jantung si bayi yang sedang berjuang keluar dari laluan sempit vagina ibu. Menyembunyikan wajah yang merah menahan perasaan.
Sebagai petugas professional kesihatan, tidak sepatutnya kami mengalirkan air mata di hadapan pesakit.

"Ok adik, tarik nafas dalam-dalam.. 1,2,3 teran!"
Alhamdulillah 2 minit kemudian, nyaring suara tangisan bayi memenuhi kamar bersalin itu. Ceria. "Alhamdulillah, tahniah adik.. Awak dah jadi ibu.. Baby kita beri dulu pada doktor kanak-kanak ye.. Sebab tadi dia dah buang najis di dalam.. Biar doktor kanak-kanak periksa dulu ye".. Semua tersenyum lebar.. Lega..
.......
Malam itu, sebelum pulang.. saya tinjau seketika ke kamar itu. Dia mencium kepala bayinya, penuh kelembutan. Penuh kasih sayang.. Tiada riak benci pada bayi yang pernah dipukul dengan baldi ketika dalam kandungan. Maha suci Allah..
........
Kami pulang dengan dendam dan perasaan marah yang hanya mampu tersimpan jauh di sudut hati.
Siapakah sekumpulan lelaki-lelaki yang tidak bertanggungjawab mengganggu dan menangkap adik ini ketika beliau pulang dari sekolah? Siapakah yang mencalarkan maruah adik ini sehinggakan beliau terpaksa melarikan diri ke negeri lain bagi menyembunyikan tragedi itu dari pengetahuan jiran dan rakan? Apakah tiada balasan yang setimpal untuk perbuatan zalim yang tidak selayaknya dilakukan oleh makhluk yang membawa akal dan iman dalam fitrah ciptaannya?

Copy paste dari fb Puan Nur Ameen


Sunday, 1 November 2015

ALLAH Tak Pandang Paras Rupa Kita


Hari ni ada seorang kenalan facebook mesej saya. Beliau seorang gadis pertengahan 30-an yang belum berumah tangga. Biasanya orang kita gelar "Anak Dara Tua".

Panjang lebar luahan hati beliau. Tentang perasaan cemburu kepada kawan-kawan yang dah berkeluarga. Cemuhan ahli keluarga & sanak-saudara. Paling menyakitkan bila dihina lelaki kerana rupa paras beliau yang gelap, rendah, dan agak gempal. Katanya dalam banyak dugaan yang dialami, hinaan ke atas paras rupa & fizikal beliau adalah yang paling menyakitkan.

Saya pun terkelu, tak tahu apa jawapan yang sesuai untuk menghiburkan hati beliau.

Orangnya baik sangat. Sepanjang saya kenali beliau, wall facebook sentiasa dipenuhi dengan perkara positif & perkongsian ilmu agama. Mungkin beliau kurang dari segi kecantikan fizikal. Tapi hati & akhlak beliau sangat cantik.

Kepada beliau, jom hayati kisah Siti Hajar. Seorang hamba sahaya yang tak punya kecantikan fizikal, tapi dipandang mulia di sisi ALLAH.

Siti Hajar asalnya cuma seorang hamba sahaya. Sudahlah hina, hitam pulak tu. Senang kata tak cantik mana pun. Tetapi dia cerdas, berakhlak mulia, dan wanita yang kuat dari segi mental. Dia dinikahi oleh Nabi Ibrahim A.S & melahirkan seorang nabi mulia bernama Nabi Ismail. Mulianya Siti Hajar di sisi ALLAH.

Percayalah! ALLAH tak pandang pun rupa paras kita. Tak guna pun kalau rupa kita cantik tapi hidup jauh tersasar dari landasan islam. Biarlah kita tak cantik di dunia, yang penting dapat jadi bidadari syurga. Hidup yang kekal abadi.

Semoga dapat mengubat hati beliau yang sedang lara.

Friday, 23 October 2015

Kisah Lelaki Soleh Yang Berkahwin Dengan Wanita Buta, Tuli, Bisu & Lumpuh Kerana Sebiji Epal



Seorang lelaki yang soleh bernama Tsabit bin Ibrahim sedang berjalan di pinggiran kota Kufah. Dia terpandang sebiji epal jatuh keluar pagar sebuah kebun buah-buahan. Tsabit teringin untuk memakannya. Tambahan pula ketika itu panas dan dia kehausan. Tanpa berfikir panjang dipungut dan dimakannyalah buah epal itu. Akan tetapi baru separuh epal itu dimakan, tiba-tiba dia teringat bahawa epal itu bukan miliknya dan dia belum mendapat izin pemiliknya.

Maka dia segera pergi ke dalam kebun buah-buahan itu untuk menemui pemiliknya dan meminta dihalalkan buah yang telah dimakannya. Di dalam kebun itu dia bertemu dengan seorang lelaki. Lalu dia pun berkata, “Aku sudah makan setengah dari buah epal ini. Aku berharap tuan menghalalkannya”. Orang itu menjawab, “Aku bukan pemilik kebun ini. Aku Khadamnya yang ditugaskan menjaga dan mengurus kebunnya”.


Dengan nada menyesal Tsabit bertanya lagi, “Di mana rumah pemiliknya? Aku akan menemuinya dan minta agar dihalalkan epal yang telah aku makan ini.” Pengurus kebun itu memberitahunya, “Jika engkau ingin pergi ke sana maka engkau harus menempuh perjalanan sehari semalam”.

Tsabit bin Ibrahim bertekad akan pergi menemui tuan pemilik kebun itu. Katanya kepada orang tua itu, “Tidak mengapa. Aku akan tetap pergi menemuinya, meskipun rumahnya jauh. Aku telah memakan epal yang tidak halal bagiku kerana tanpa izin pemiliknya. Bukankah Rasulullah s.a.w. sudah memperingatkan kita melalui sabdanya: “Siapa yang tubuhnya tumbuh dari yang haram, maka ia lebih layak menjadi umpan api neraka”


Tsabit pergi juga ke rumah pemilik kebun itu, dan setiba di sana dia terus mengetuk pintu sambil memberi salam dengan sopan,sambil berkata,” Wahai tuan yang pemurah, saya sudah terlanjur makan setengah dari buah epal tuan yang jatuh ke luar kebun tuan. Kerana itu mahukah tuan menghalalkan apa yang sudah ku makan itu?”


Lelaki tua yang ada di hadapan Tsabit mengamatinya dengan cermat. Lalu dia berkata tiba-tiba, “Tidak, aku tidak boleh menghalalkannya kecuali dengan satu syarat.” Tsabit merasa khawatir dengan syarat itu kerana takut dia tidak dapat memenuhinya. Maka segera dia bertanya, “Apakah syarat itu tuan?” Orang itu menjawab, “Engkau harus mengawini putriku !”


Tsabit bin Ibrahim tidak memahami apa maksud dan tujuan lelaki itu, maka dia berkata, “Apakah kerana hanya aku makan setengah buah epalmu dari kebunmu, aku harus mengkahwini puterimu?”


Pemilik kebun itu tidak mempedulikan pertanyaan Tsabit. Malah dia terus sahaja berkata , “Sebelum pernikahan dilakukan engkau harus tahu dulu kekurangan-kekurangan puteriku itu. Dia seorang yang buta, bisu, dan tuli. Lebih dari itu ia juga seorang yang lumpuh!”

Tsabit amat terkejut dengan keterangan pemilik kebun. Dia berfikir di dalam hatinya, apakah wanita seperti itu patut dia persunting sebagai isteri gara-gara setengah buah epal yang tidak dihalalkan kepadanya? Kemudian pemilik kebun itu menyatakan lagi, “Selain syarat itu aku tidak boleh menghalalkan apa yang telah kau makan !”


Tsabit kemudian menjawab dengan yakin, “Aku akan menerima pinangannya dan perkahwinanya. Aku telah bertekad akan mengadakan pertukaran dengan Allah Rabbul ‘alamin. Untuk itu aku akan memenuhi kewajipan-kewajian dan hak-hakku kepadanya kerana aku amat berharap Allah selalu meredhaiku dan mudah-mudahan aku dapat meningkatkan kebaikan-kebaikanku di sisi Allah Ta’ala”.


Maka pernikahan pun dilaksanakan. Pemilik kebun itu menyediakan dua orang saksi yang akan menyaksikan pernikahan tersebut. Seusai majlis pernikahan, Tsabit dipersilakan masuk menemui isterinya. 


Sewaktu Tsabit hendak masuk kamar pengantin, dia berfikir akan tetap mengucapkan salam walaupun isterinya tuli dan bisu, kerana bukankah malaikat Allah yang berkeliaran dalam rumahnya tentu tidak tuli dan bisu juga. Maka iapun mengucapkan salam, “Assalamu”alaikum…”

Tidak disangkanya sama sekali wanita yang ada di hadapannya iaitu isterinya itu menjawab salamnya. Ketika Tsabit masuk hendak menghampiri wanita itu , dia mengulurkan tangan untuk menyambut tangannya. Sekali lagi Tsabit terkejut kerana wanita yang itu menyambut huluran tangannya.

Tsabit merasa hairan. “Ayahnya mengatakan bahawa wanita itu tuli dan bisu tetapi ternyata dia menjawab salamnya dengan baik. Jika demikian bererti wanita yang ada di hadapanku ini dapat mendengar dan tidak bisu. Ayahnya juga mengatakan bahawa dia buta dan lumpuh tetapi ternyata dia menyambut kedatanganku dengan ramah dan mengulurkan tangan dengan mesra pula”, Kata Tsabit dalam hatinya. Tsabit berfikir, mengapa ayahnya menyampaikan berita-berita yang bertentangan dengan yang sebenarnya?

Setelah Tsabit duduk di samping isterinya, dia bertanya, “Ayahmu mengatakan kepadaku bahawa engkau buta. Mengapa?” Wanita itu kemudian berkata, “Ayahku benar, kerana aku tidak pernah melihat apa-apa yang diharamkan Allah”. Tsabit bertanya lagi, “Ayahmu juga mengatakan bahawa engkau tuli, mengapa?” Wanita itu menjawab, “Ayahku benar, kerana aku tidak pernah mahu mendengar berita dan cerita orang yang tidak membuat redha Allah."

Ayahku juga mengatakan kepadamu bahawa aku bisu dan lumpuh, bukan?” Tanya wanita itu kepada Tsabit. Tsabit mengangguk perlahan mengiyakan pertanyaan isterinya. Selanjutnya wanita itu berkata, “Aku dikatakan bisu kerana dalam banyak hal aku hanya menggunakan lidahku untuk menyebut asma Allah Ta’ala saja. Aku juga dikatakan lumpuh kerana kakiku tidak pernah pergi ke tempat-tempat yang boleh menimbulkan kemurkaan Allah Ta’ala”.

Tsabit amat bahagia mendapat seorang isteri solehah dan wanita yang memelihara dirinya. Dengan penuh syukur dia berkata tentang isterinya, “Ketika kulihat wajahnya… Subhanallah, dia bagaikan bulan purnama di malam yang gelap”.

Tsabit dan isterinya yang solihah dan cantik itu hidup rukun dan berbahagia. Tidak lama kemudian mereka dikurniakan seorang putera yang ilmunya memancarkan hikmah ke seluruh penjuru dunia, Beliau adalah Al Imam Abu Hanifah An Nu’man bin Tsabit. 

Kisah Pemuda Yang Beribu Bapakan Babi


Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah s.w.t. Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah s.w.t. Nabi Musa sering bertanya dan Allah s.w.t. akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.
Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah s.w.t. . "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?". Allah s.w.t pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu.Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.
Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut.Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu. Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.
Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.
Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa.
"Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibu bapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah s.w.t. telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah s.w.t. itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah s.w.t. . Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibub apaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi babi, aku tetap melaksanakan tugasku.", sambungnya.
"Setiap hari aku berdoa kepada Allah s.w.t. agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah s.w.t. menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah s.w.t. masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi.
Maka ketika itu juga Allah s.w.t. menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepada kedua ibu bapanya. Ibu bapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami."
Allah s.w.t. juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibu bapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga."
Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibu bapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibu bapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibu bapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.

Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibu bapa kita itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa. Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah s.w.t. supaya kedua ibubapa kita diampuni Allah s.w.t .
Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibu bapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibubapa yg berada di alam kubur. Semoga kita semua ambil iktibar dari kisah ini.

Thursday, 15 October 2015

Bahaya Letak Jarum Peniti Kat Mulut Waktu Pakai Tudung


Siapa biasa buat macam ni? Kepit jarum peniti kat mulut sambil pakai tudung.

Jangan buat lagi tau. Bahaya. Dah banyak kita dengar kes pasal tertelan jarum peniti.

Kes yang saya share kat atas ni kisah benar yang dikongsikan oleh seorang rakan facebook saya.

Sebelum ni saya pernah dengar, waktu tengah letak jarum kat mulut tiba-tiba terbersin. Dah tertelan jarum. Tak tau apa jadi kepada orang tu.

Hati-hati ye semua. Benda-benda macam ni memang kita nampak macam remeh. Tapi boleh membahayakan kesihatan.

Next time nak pakai tudung, jarum tu letak tepi. Nak guna baru ambik & terus lekat kat tudung. Jangan parking kat mulut.


Blogger news

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...