Monday, 30 November 2015

Sebuah Kisah Yang Membuatkan Saya Menitiskan Air Mata

A heartbreaking day...
Di dewan bersalin, menyambut seorang adik, remaja sekolah menengah rendah.. Wajahnya kelihatan tenang, disulam kerut-kerut dahi menahan sakitnya contraction pain. A petite, pretty, innocent young lady indeed.

Sementara menunggu fail pesakit tiba di tangan... Kami siap sediakan peralatan yang patut. CTG (cardiotocography) machine dipasang, delivery set, vaginal examination set, bladder catheterization, suction set.. Darah pesakit diambil untuk saringan kumpulan darah, standby sekiranya ada komplikasi pendarahan berlaku selepas pesakit bersalin.
"Adik sekolah lagi?" Sapaan seorang staf.
"Saya baru berhenti sekolah beberapa bulan lepas. Takut kawan-kawan tau.."

Tangan cekap melakukan kerja, sambil otak ligat berfikir, memecahkan puzzle yang masih banyak lopongnya. Kes apa ye ini?
"Saya mangsa rogol..." Perlahan dia berkata.
Sentap. Sunyi.. 10 saat, 20 saat.. Terdengar suara beliau mengerang kesakitan. Dengan penuh tenang dan prihatin, kami ajarkan si adik cara-cara menahan sakit, cara meneran apabila saat melahirkan anak tiba nanti. Beberapa ayat quran dan zikir diajarkan beliau untuk tenangkan minda, mudah-mudahan dipermudahkan proses delivery nanti.
Tidak lama kemudian, ibu adik ini masuk. Wajahnya segar. Penuh motivasi. Istimewanya ibu ini. Tidak henti-henti mengurut belakang badan, tangan dan kaki sambil mulut memberi sokongan kepada si adik. Setiap kali contraction pain datang, ibu ini tidak jemu berkata, "Sabar ye nak, nak bersalin memang sakit. Baca istighfar, mengucap.. Baca tu haa, ayat yang tulis kat dinding tu. Laa ilaha illa anta, subhanaka inni kuntu minazzholimin.."
"Puan, jemput duduk.. Penat puan berdiri dari tadi."
"Tak mengapa, kesian kat anak saya ni."

Setelah ARM (artificial rupture of membrane: satu prosedur untuk membantu pecahkan air ketuban) dilakukan, air ketuban yang mengalir keluar kelihatan sedikit keruh, light meconium stain liquor, inform pediatrics team untuk standby!
"Apa ye tu doktor?" si ibu bertanya.
"Puan, kita buat ARM ni tadi untuk 2 tujuan, pertama untuk lihat warna air ketuban, sekiranya keruh maknanya baby dah buang najis di dalam, menandakan dia dalam keadaan tertekan dan boleh jadi lemas. Kedua, untuk bantu cepatkan sedikit proses bersalin. Dan kami perasan air ketuban adik ni tadi ada stain najis bayi. Tapi insya Allah masih dalam keadaan stabil, kita pantau keadaan baby dengan CTG machine tu. Setakat ni nampak fungsi jantung baby baik, maknanya belum ada tanda-tanda lemas."
"Ooo.. Boleh jadi tak baby ni tertekan sebab di rumah, anak saya pukul-pukul perutnya dengan baldi. Boleh jadi tak sebab tu?"
"Pukul dengan baldi?"
"Iye.. Lepas kejadian tu, di rumah dia selalu murung. Berkurung dalam bilik. Menangis sendiri. Tak jumpa orang. Saya ni je lah yang selalu buat dia senyum, ketawa."
"Insya Allah bukan sebab tu, puan jangan risau ye.."
Kadar contraction semakin kerap, adik ini semakin kesakitan.
"Akak, saya rasa macam nak meneran!"

"Ok adik... Tarik nafas, kami periksa ya.."
"Os fully!" Semua bersedia. Rambut si bayi sudah kelihatan.

Si ibu bergegas keluar kamar bersalin. Mata dan hidungnya merah. Mulutnya terkumat kamit berdoa. Si ibu menangis..
"Eh puan tak nak masuk, teman anak bersalin?"
"Saya tak sanggup tengok anak saya sakit begini."

Dia masuk semula..
Sambil mengusap pantas rambut si anak, di berkata,
"Ibu keluar ye sayang, Adik boleh, jaga diri ye."
Dicium lembut pipi si anak. Air matanya mengalir laju.

"Ibu, jangan tinggalkan adik... Ibu jangan pergi" lemah suara si anak merayu..
Ya Ilahi... drama apakah ini?
Kenapa penglihatan mata ini berkaca-kaca? Tak mampu menahan air mata yang sarat bergenang.. Ya Allah jangan biarkan air mata ini jatuh..
Tunduk merenung CTG machine yang rancak berbunyi, bunyi degupan jantung si bayi yang sedang berjuang keluar dari laluan sempit vagina ibu. Menyembunyikan wajah yang merah menahan perasaan.
Sebagai petugas professional kesihatan, tidak sepatutnya kami mengalirkan air mata di hadapan pesakit.

"Ok adik, tarik nafas dalam-dalam.. 1,2,3 teran!"
Alhamdulillah 2 minit kemudian, nyaring suara tangisan bayi memenuhi kamar bersalin itu. Ceria. "Alhamdulillah, tahniah adik.. Awak dah jadi ibu.. Baby kita beri dulu pada doktor kanak-kanak ye.. Sebab tadi dia dah buang najis di dalam.. Biar doktor kanak-kanak periksa dulu ye".. Semua tersenyum lebar.. Lega..
.......
Malam itu, sebelum pulang.. saya tinjau seketika ke kamar itu. Dia mencium kepala bayinya, penuh kelembutan. Penuh kasih sayang.. Tiada riak benci pada bayi yang pernah dipukul dengan baldi ketika dalam kandungan. Maha suci Allah..
........
Kami pulang dengan dendam dan perasaan marah yang hanya mampu tersimpan jauh di sudut hati.
Siapakah sekumpulan lelaki-lelaki yang tidak bertanggungjawab mengganggu dan menangkap adik ini ketika beliau pulang dari sekolah? Siapakah yang mencalarkan maruah adik ini sehinggakan beliau terpaksa melarikan diri ke negeri lain bagi menyembunyikan tragedi itu dari pengetahuan jiran dan rakan? Apakah tiada balasan yang setimpal untuk perbuatan zalim yang tidak selayaknya dilakukan oleh makhluk yang membawa akal dan iman dalam fitrah ciptaannya?

Copy paste dari fb Puan Nur Ameen


0 comments:

Post a Comment

Blogger news

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...